Alaf yang serba unik ini telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya, cinta yang mereka alami ini telah di’islamik’kan seperti mana-mana bank, institusi-institusi kewangan lain yang diislamkan. Maka, wujudlah istillah ‘Cinta Ukhwah’. Ayat-ayat dan hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Lebih menarik lagi,, gejala ini menular dalam kalangan yang berkopiah, berserban, bertudung litup, berjilbab, naqib-naqibah, pengerusi-timbalan pengerusi dan mereka yang menukarkan ganti nama kepada ‘ana anti wa ana anta’.
Sms, YM, Fb, dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi utama cinta ‘ana anti’. Ia lebih selamat, kerana tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, duit minyak kereta, dan juga membazir membeli kertas kajang berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak muda yang lain yang jauh dari kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata tazzkirah, berakhir dengan ikon senyuman,teddy bear dann kadang gambar wanita bertudung.
Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk bertemu. Bagi yang aktif berpersatuan, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai….kreatif betul anak-anak muda yang ‘islamik’ ini.
Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid Melayu seperti yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastic berbau cinta asmara . Hakikatnya, fenomena cinta ‘anta anti’ ini semakin ketara dan semakin rancak.